Tanah tempat kita berpijak ini acapkali sukar difahami...

Thursday, December 22, 2005

Bon Voyage...

Saya rasa saya tidak mampu untuk meneruskan blog Anak Dagang ini. Pelbagai faktor telah diambil kira. Haha..apa pun, saya berasa puas dengan apa yang saya lakukan setakat ini. Terima kasih kepada semua yang pernah melawat blog ini. Mudah-mudahan, dapat manfaat dari penulisan yang tidak seberapa ini.

Sooner or later, kita akan berpisah juga. Sesuatu yang ada awal pasti ada akhirnya. Itu lumrah alam sejak dahulu lagi.

Bon voyage....

Friday, December 16, 2005

Dacing dan Timbang

Oleh Hishamuddin Rais

Ketika ini saya sedang merasa takut. Ini kerana saya sedang memerhatikan keruntuhan nilai-nilai yang memisahkan nilai salah dengan nilai betul. Garis pemisah di antara yang baik dengan yang salah semakin menjadi kabur. Hari demi hari saya perhatikan keruntuhan ini semakin jelas. Saya hanya berani berkata tentang manusia Melayu sahaja. Ini kerana saya tidak mengetahui apakah perkara yang sama juga sedang melanda budaya nilai warga bangsa lain dalam negara kita ini.

Pada anggapan saya apa yang saya perhatikan ini hanyalah manifestasi-manifestasi dari keseluruhan tamadun yang sedang kita sama-sama dirikan. Penghakisan nilai-nilai ini kalau sekali pandang kelihatan tidak membawa apa-apa masalah. Malah, jika kita pandang sambil lewa mungkin manifestasi ini tidak akan dapat dilihat.

Saya adalah pengguna setia pasar Chow Kit. Ini kerana pasar Chow Kit adalah satu-satunya pasar dalam kota Kuala Lumpur yang bermula pada awal malam dan dibuka hingga ke awal pagi. Ini bermakna saya boleh datang ke sini untuk membeli barang keperluan rumah tanpa diganggu oleh kesesakan lalu lintas. Juga, saya boleh membeli belah di waktu malam dalam cuaca yang lebih selesa.

Di pasar ini ada satu perkara yang saya perhatikan di mana manifestasi bentuk nilai betul dan nilai salah semakin merudum. Ini bersangkutan dengan dacing timbangan barang. Saya perhatikan rata-rata di pasar sayur, pasar ikan atau di pasar buah ada kelihatan dacing. Tetapi yang amat pelik lagi menghairankan, kesemua dacing timbangan di pasar ini diletakan mengereng. Dacing-dacing ini tidak diletakkan untuk berhadapan dengan mata para pembeli.

Saya sebagai pembeli merasa amat payah untuk melihat timbangan ikan atau sayur yang saya beli. Mata dacing ini hanya jelas untuk dilihat oleh si penjual. Tetapi bukankah dacing ini bertujuan untuk membuktikan timbangan kepada si pembeli. Dalam masa yang sama, dacing moden hari ini memiliki dua mata. Satu untuk dilihat pembeli, dan satu lagi untuk si penjual. Kalau pun dacing ini hanya memiliki satu mata, seharusnya si pembelilah yang wajib diberi keutamaan untuk melihat berat barang yang ingin dibelinya.

Saya masih ingat pada tahun 70an dahulu pihak kerajaan telah menyediakan satu dacing khusus di pinggir pasar Chow Kit. Dacing ini disediakan kerana para pembeli merasa was-was terhadap timbangan barang-barang yang telah dibeli. Ini terjadi kerana banyak pembeli merasa diri mereka telah tertipu. Kerana sungutan orang ramai maka kerajaan telah mengambil jalan pintas untuk menyelesaikan masalah ini. Untuk saya, ini hanya penyelesaian berjangka pendek.

Saya pernah tinggal bertahun-tahun di negara kafir seperti di Belgium dan di England. Saya perhatikan perkara seperti dacing dan timbangan ini tidak pernah timbul. Para penjual di negara kafir ini mungkin ada beragama dan ramai pula yang tidak beragama tetapi dalam hal jual beli ini nilai mereka cukup telus. Mereka melakukan hal jual beli dengan telus bukan kerana takut dibakar api neraka atau takut tidak masuk ke syurga. Mereka menjadi telus kerana telus itu adalah nilai yang baik.

Saya pernah juga melawat Eropah Timur. Saya melawat daerah ini sesudah runtuhnya blok USSR. Di kota Praque Republik Czech, saya perhatikan, apabila saya ingin memesan makanan dalam restoran - ikan, roti atau daging - yang saya pesan akan ditimbang lebih dahulu. Berapa berat makanan yang saya minta semuanya akan ditimbang di hadapan mata saya sebelum dibakar, dimasak atau di goreng. Saya yang ketika itu datang dari kota London pun merasa kagum di atas kejujuran cara berniaga negara-negara ini. Bayangkan negara-negara ini semuanya bekas negara sosialis yang sering ditohmah sebagi negara ateis yang tidak percaya kepada tuhan. Walau pun negara ini negara ateis tetapi hubungan antara si penjual dengan si pembeli cukup telus.

Mungkin ada warga yang berpendapat apa yang sedang berlaku ini adalah satu perkara yang amat kecil lagi remeh. Ini mungkin betul. Tetapi untuk saya apa yang sedang berlaku ini memerlukan penganalisisan yang mendalam. Pada hemat saya ini adalah satu manifestasi kemerosotan garis pemisah di antara nilai betul dengan nilai salah. Satu lagi perkara yang saya amati sedang berlaku di pasar Chow Kit ialah kegagalan tuan empunya kedai untuk meletakkan tanda harga barang. Di pasar ikan, sayur dan pasar ayam, hampir kesemua pasar ini tidak meletakan tanda harga barang. Saya merasa hairan kenapa ini berlaku. Apakah si penjual ini seorang yang buta huruf sehinggakan tidak tahu hendak menuliskan tanda harga di barang jualannya. Anggapan saya ini pasti salah kerana hampir semua pekedai ini tahu pula mengira duit dengan betul lagi rakus.

Pernah satu ketika saya telah melawat kota Kabul. Dalam kota ini saya telah dihampiri oleh seorang anak muda yang ingin menjual pisau lipat sebagai simbol kota Kabul. Anak muda ini telah meminta 50,000 Afghani sebagai harga pisau ini. Saya memang tidak berminat dan terus mendiamkan diri. Dengan serta merta harga pisau ini turun menjadi 25,000. Saya terus mendiamkan diri. Anak muda ini terus menurunkan lagi harga pisau ini turun ke 8,000. Akhirnya anak muda ini menawarkan 12 Afghani untuk sebilah pisau. Saya ketawa terbahak-bahak. Kenapa tidak. Bayangkan dari 50,000 Afghani ianya turun ke 12 Afghani.

Saya hairan pekara-pekara yang tidak telus ini semuanya berlaku di negara-negara yang warganya dikatakan kuat pegangan agamanya. Dan rakyat negara ini semuanya percayakan kepada azab sesudah mati. Ini amat jauh berbanding dengan cara jual beli pasar-pasar di negara-negara kafir dan ateis yang pernah saya lawati. Ketelusan warganya cukup meyakinkan diri saya.

Apa yang saya ceritakan di sini sebenarnya adalah tanda-tanda kesakitan yang sedang melanda nilai budaya kita. Memang betul apa yang saya nyatakan ini agak kecil dan tidak penting. Tetapi jika dihalusi akan kita didapati bahawa pekara-pekara kecil-kecilan muncul dari satu nilai budaya yang lebih besar dan luas.

Nilai baik dengan nilai salah yang semakin kabur dalam urusan kecil-kecilan ini adalah juga satu manifestasi kekaburan nilai dalam budaya sosio politik kita yang lebih besar. Perkara-perkara seperti tanda harga, tipu timbang ini hanya tempelan-tempelan. Untuk saya pekara-pekara remeh ini adalah juga tanda-tanda kesakitan nilai yang sedang melanda budaya kita, terutama orang Melayu.

Masyarakat Melayu ketika ini sedang menghadapi krisis nilai yang amat parah. Manusia Melayu ketika ini seolah-olah telah dibawa ke satu tahap di mana mereka tidak lagi dapat mengenal nilai salah benar. Krisis nilai yang sedang melanda manusia Melayu ini amat menakutkan. Ini kerana dalam negara berbilang bangsa ini, Melayu adalah bangsa yang dominan. Jika masyarakat yang dominan ini telah rosak nilainya maka ianya akan membawa padah buruk untuk kesemua budaya bangsa dalam negara kita ini.

Dacing yang diletakkan mengereng serong yang saya temui di pasar Chow Kit itu hanyalah satu metafora. Kini manusia Melayu semakin mengereng serong dalam nilai-nilai budaya kehidupan harian mereka. Nilai-nilai salah benar kelihatan semakin jauh mengundur. Keserongan nilai ini lahir dari satu sistem dan struktur budaya. Struktur budaya ini sedang memberi pengiktirafan dan penghormatan terhadap pekara-pekara yang salah. Nilai kita telah menjadi simpang siur dan kacau bilau. Saya rasa barah kemerosotan nilai ini sedang merebak luas. Barah ini tidak mungkin dapat dipotong dengan pisau walaupun pisau ini dibuat oleh besi Khursani yang datang dari Kabul.

Saturday, December 10, 2005

Bila Bodoh Kahwin Kuasa

Oleh Hishamuddin Rais

Kebodohan jika bersekongkol dengan kuasa maka hasilnya pastilah porak peranda. Dan inilah yang sedang kita saksikan berlaku dalam bidang pencarian ilmu dalam negara kita ini. Apabila Times Higher Education Supplements (THES) telah menjatuhkan kedudukan Universiti Malaya dari 89 ke 169, maka dengan tiba-tiba sahaja kedengaran suara siamang dan ungka-ungka bersahut-sahutan dari sarang-sarang akademik mereka.

Saya sebenarnya tidak menaruh apa-apa nilai terhadap pandangan yang dikeluarkan oleh akhbar The Times ini. Akhbar ini adalah sebahagian dari industri media yang dimiliki oleh Rupert Murdoch. Cita-cita media ini bukan tentang ilmu dan pembelajaran tetapi untuk menjualkan tempat – status – agar universiti-universiti ini dapat dilanggan. Sama ada universiti itu dapat number satu atau paling corot saya tidak akan ambil pot. Dari segi keilmuan untuk saya, angka-angka ini tidak memiliki apa-apa nilai. Silap-silap baca angka-angka ini sama seperti angka-angka pelacur dalam balang kaca di Haadyai.

Apa yang menarik hasil dari laporan angka-angka yang dikeluarkan oleh akhbar The Times ini ialah ulangan menghitam putihkan kemerosotan dunia akademia Universiti Malaya. Saya tidak hairan apabila akhbar luar negara membuat laporan maka ada para akademik tempatan tersentak dan bangun dari mimpi mereka. Ini kerana mereka ini masih memiliki mentaliti ‘lackey’. Mereka hanya dapat melihat apabila ada orang luar
negara yang bersuara.

Sebenarnya, kita tidak perlu akhbar luar negara membuat penilaian tentang dunia akademia kita. Hakikatnya telah nyata. Universiti dan lembaga-lembaga keilmuan dalam negara kita telah merosot. Kemerosotan ini bukan berlaku dalam masa satu dua tahun ini. Kemerosotan ini mengambil masa yang agak lama untuk menunjukkan hasilnya. Kemerosotan ini bukan pula terjadi dengan sendiri tetapi melalui satu proses yang memiliki nadi dan nafasnya sendiri.

Apa yang berlaku ke atas Universiti Malaya, universiti dan kolej-kolej yang lain dalam negara ini adalah hasil dari satu dasar yang telah dilembagakan oleh parti yang memerintah. Dasar inilah yang membawa kemerosotan tahap keilmuan dalam negara kita ini. Hasil dari dasar ini berlakulah proses pembonsaian fikrah generasi muda kaum pelajar dan kaum mahasiswa. Kebongsaian fikrah yang paling parah sedang dinikmati oleh mahasiswa dan pelajar Melayu.

Bonsainya fikrah para pelajar dalam negara kita ini juga bukan sesuatu perkara yang baru berlaku. Justeru, kita tidak memerlukan majalah Time atau Newsweek membuat laporan untuk menyedarkan tentang perkara ini. Buktinya terserlah saban hari. Kita tidak perlu bersuluh dan berjamong. Perkara kemerosotan pembelajaran ini telah menjadi ”pergi tersepak pulang terlanggar”. Buka dan lihat media arus perdana, terutama media Melayu. Berkeping-keping kebodohan demi kebodohan terpampang, semuanya akan mengancam kepala sesiapa sahaja yang boleh berfikir. Tulisan-tulisan bodoh dalam media kita ini adalah sebahagian dari proses penyuburan kebodohan warga.

Proses membodohkan warga ini bermula dengan membodohkan anak-anak muda kaum pelajar dan mahasiswa-mahasiswa di universiti dan institusi pengajian tinggi. Proses ini memiliki persejarahannya sendiri. Proses ini berlaku secara teratur dan terancang. Proses pembodohan ini diperkuatkan pula dengan hukum kanun negara. Pembonsaian fikrah ini telah berjalan lebih dari tiga puluh tahun. Ertinya proses ini telah melintasi lebih dari satu generasi. Bayangkan berapa ramai agaknya anak-anak pelajar dan mahasiswa yang telah melalui proses pembodohan ini.

Kerajaan yang memerintah negara kita hari ini tidak memerlukan warga yang memiliki fikrah yang kritikal. Warga yang kritikal dan memiliki pandangan yang berbeza dari pandangan parti yang memerintah akan menyusahkan parti yang memerintah. Keadaan ini bertambah buruk lagi jika golongan yang memerintah ini pula tidak memiliki keilmuan dan tahap kelayakan pimpinan yang boleh dijadikan pedoman. Pemerintah yang bodoh akan merasa terancam apabila berhadapan dengan warga yang memiliki fikrah yang kritikal.

Justeru, apa yang dikehendaki dari universiti dan institusi pengajian tinggi dalam negara kita hari ini ialah untuk menjadi kilang yang mengeluarkan birokrat, pegawai, guru, ilmuwan dan gradun-graduan yang boleh melakukan kerja-kerja tanpa banyak soal jawab. Graduan-graduan yang dihasilkan dari kilang ini jika boleh akan menjadi birokrat yang setia untuk meneruskan dasar pembodohan ini.

Mahasiswa dan pelajar Melayu yang kritikal, cerdik, berilmu, berfikir dan memiliki kehormatan diri tidak mungkin akan menyokong dasar pembodohan yang sedang disebarkan oleh United Malay National Organisations ini. Mereka pasti tidak mahu diperbodoh-bodohkan. Anak-anak muda yang memiliki fikrah yang jalur akalnya luas dan dapat melintasi dunia Melayu sempit yang dipropagandakan oleh United Malay National Organisations pasti akan bersuara. Mereka yang berfikiran kritikal pasti akan peduli terhadap apa sahaja yang sedang terjadi kepada negara dan bangsanya.

Ini berbeza dengan birokrat, pegawai atau ilmuwan yang bonsai akalnya. Graduan-graduan yang telah bonsai akal fikirannya bukan hanya akan menyambung dan meneruskan proses pembodohan ini malah mereka dengan bangganya akan menyokong, membodek dan menganggukkan kepala mereka tanpa banyak soal jawab. Kumpulan inilah yang sedang menyamar diri sebagai ahli-ahli akademik dan bersarang sambil mengendalikan perjalanan universiti-universiti awam dalam negara kita ini. Sila ambil perhatian - hampir kesemua dari jenis ini adalah orang Melayu.

Universiti sebagai gedung ilmu, mencanai wacana untuk mencari kebenaran telah lama menjadi arwah. Keadaan ini bertambah parah lagi apabila mereka yang bonsai ini bersekongkol pula dengan mereka yang berkuasa. Di sini ada titik pertemuan kepentingan. Untuk puak yang memerintah, mereka memerlukan sokongan dari warga yang tidak memiliki daya fikrah yang kritikal. Untuk para akademik dan ilmuwan yang menyamar sebagai bijak pandai, mereka memerlukan pemerintah yang memiliki kuasa. Tanpa sokongan kuasa maka topeng keilmuan mereka akan tercabut.

Bayangkan jika seorang profesor dari Universiti Malaya yang ijazah dan tesis kajiannya dianugerahkan berdasarkan dirinya sebagai ketua cawangan United Malay National Organisations dari Felda Taib Andak. Kertas akademik akhir yang ditulisnya hanya berjaya dibentangkan di Majlis Belia Sungai Rambai Melaka. Majlis Belia ini berjaya dilakukan kerana ketua belia ini adalah anak buah kepada profesor ini. Bayangkan, jika profesor ini dibuang kerja, pasti tidak ada sebuah pun universiti dalam dunia ini yang akan mengambil profesor ini untuk menjadi tenaga mengajar. Jauh sekali untuk diambil oleh badan-badan antarabangsa seperti PBB. Justeru, profesor jenis ini perlu memeluk kuasa seerat-erat mungkin.

Awas - profesor jenis ketua cawangan ini pun agak masin juga lidahnya kerana dia pernah menulis tesis Phdnya. Bagaimana pula dengan mereka yang berani memanggil diri mereka Doktor walhal tesis masternya pun masih dipersoalkan. Menyamar membawa ijazah-ijazah sebagai orang-orang bijak pandai ini sedang berlaku di dalam universiti-universiti negara kita. Ini bukan lagi sesuatu yang pelik dan menakjubkan.

Lihatlah betapa bahayanya keadaan apabila bodoh berkahwin dengan kuasa. Persekongkolan bodoh dengan kuasa ini dari segi sejarahnya muncul dari Dasar Ekonomi Baru. Dasar yang di wujudkan oleh United Malay National Organisations ini telah mengenepikan pencarian ilmu yang neutral. United Malay National Organisations telah memansuhkan konsep kebijaksanaan tanpa mengira kaum. Hasilnya, jumlah angka lulus peperiksaan selalu diganggu ubah untuk disesuaikan dengan dasar parti. Atau diubah untuk memperlihatkan menteri pelajaran yang sedang berkuasa sebagai menteri yang berjaya membuat kerja.

Apabila bodoh berkahwin dengan kuasa yang muncul ialah Malaysia yang semakin porak peranda. Sistem pembelajaran kita yang semakin merosot tahap dan mutunya ini hanyalah tanda-tanda manifestasi dari kesakitan bangsa. Seperti bisul dalam sistem badan yang semakin haprak, sesekali nanahnya meletus keluar. Hanyirnya terbau luas sehinggakan mendapat laporan dari akhbar luar negara. Hanya siamang dan ungka yang memakai jubah profesor sahaja tidak menyedari akan hakikat ini.

Wednesday, October 26, 2005

Open House

Entah sejak bila tradisi open house atau rumah terbuka menjadi budaya masyarakat Malaysia. Ia berlaku dalam semua perayaan. Raya Aidilfitri, Raya Haji, Depavali, Tahun Baru China, Hari Gawai, dan boleh dikatakan semua perayaan ingin dibuat rumah terbuka.

Kadang-kadang saya jadi lemas dengan rumah terbuka ini. Kenapa kita ini sudah seolah-olah MEWAJIBKAN mesti adanya rumah terbuka setiap kali adanya hari-hari perayaan?

Baru sahaja beberapa hari berpuasa, ada kawan-kawan yang sudah berkata, "Aih..rumah kau tak buat open house ke tahun ni? Tahun lepas dah lah tak buat." Kalau seorang yang tanya, saya tidaklah peduli sangat, tapi berduyun-duyun yang tanya.

Ya, memang betul. Buat open house bila tibanya hari raya, bukanlah satu bidaah. Tetapi apabila kita berasa tidak lengkap dan pandang serong pada orang-orang yang tak buat rumah terbuka (walau pun mampu nak buat), maka itu adalah bidaah! Dan bidaah seperti inilah yang Nabi Muhammad saw tegah.

Apakah wajib dibuat rumah terbuka itu?
Apakah salah kalau orang-orang kaya tak buat rumah terbuka?
Kenapa kita pandang serong pada orang-orang yang tak buat rumah terbuka?
Apakah rumah terbuka itu hanya dibuat masa musim-musim perayaan sahaja? Apakah tidak boleh dibuat pada bulan Rejab, Syaban, Muharram dan sebagainya?

Inilah masalah kita. Kes mewajibkan open house pada bulan Syawal, dan berasa salah serta tidak tenteram jika tidak melakukannya kerana takut jiran kutuk, adalah sama kesnya seperti mewajibkan kenduri arwah dilakukan pada 3, 10, 100 hari dan sebagainya.

Nak buat kenduri arwah buatlah. Tak salah. Tapi jika kita menetapkan hari-harinya dan berasa berdosa kalau tak buat, itu adalah bidaah.

Mari kita renung-renungkan..

Wednesday, September 21, 2005

Cinta Perlukan Syarat

Anda berdoa? Tapi tak makbul-makbul juga? Anda mungkin ada buat silap. Mari dengan ceramah dari Sheikh Hamza Yusuf yang bertajuk Love Has Conditions.

Ceramah ini dalam bahasa Inggeris. Boleh download ceramah ini (format mp3) secara percuma. Sila right-click mouse dan pilih Save target as.
1) Love Has Conditions Part 1
2) Love Has Conditions Part 2

Saya hanya off-link sahaja file ceramah ini. Ia ihsan dari Zaytuna Institute.